KATA KATA HIKMAH MAKRIFAT

 

Bahawa Insan itu perlulah memahami bahawa ia adalah Fakir, lemah, Jahil, Buta, Tuli, bisu dan segala apa yang dimilikinya adalah hak milik Allah SWT. Justeru itu mereka yang Mengenal Dirinya Wajib atasnya merendah Diri dan merasa amat berhajat kepada Allah. Ia tidak boleh Takabur dengan amalnya kerana amalnya adalah datang dari kurniaan Allah bukannya dari kekuatan Dirinya.


Allah itu Ghaib, bagaimana mahu mencapai-Nya? Wujud Allah itu penuh Rahsia, bagaimana mahu mencari-Nya? Allah itu tidak berjisim, bagaimana mahu melihat-Nya? Inilah persoalannya, namun setiap persoalan ada jawabannya. Para Ahli Makrifat telah mengeluarkan kata-kata Hikmah mereka bahawa pintu jawapan kepada soalan tersebut adalah dengan Mengenal Diri

Diri manusia adalah pintu untuk Mengenal Allah yang Ghaib, sesiapa yang mendalami Dirinya sebenarnya ia sedang mendalami Rahsia Allah.


Adam dicipta dari Tanah, ia adalah sarung untuk ditempatkan Ruh.

Ruh adalah Rahsia Allah yang tinggi. Allah menyatakan Wujud-Nya di Alam ini dengan kenyataan Wujud Makhluk-Nya. Manusia yang berakal yang berpegang kepada hukum logik tidak boleh menolak kewujudan Allah. Mereka yang menolak kewujudan Allah ialah mereka yang menentang logik mereka.


Hukum Akal tidak menerima setiap sesuatu yang Wujud tanpa ada yang menciptanya. Hujah mereka yang mengatakan setiap yang Wujud Wajib dapat dilihat adalah amat lemah. Kerana banyak perkara di Alam ini diakui kewujudannya tetapi tidak dapat dilihat seperti perasaannya sendiri iaitu sedih, gembira, dengki, dendam, rindu, cinta dan sebagainya. Begitu juga dengan kewujudan nyawa dalam badannya, kewujudan fikiran pada otaknya. Kewujudan udara di sekelilingnya, kewujudan gelombang dan pelbagai lagi.


Janganlah kita membohongi Diri kita janganlah kita melawan suara Hati kita, janganlah kita melawan suara fitrah kita bahawa Diri ini ada penciptanya, Diri ini ada yang sentiasa memelihara, Diri ini ada yang menentukan kehidupannya. Apa yang perlu bagi kita bukannya membahaskan perkara yang sudah nyata, tetapi kita melangkah lagi ke dalam lautan pengenalan DiriNya dengan meneroka Diri ini agar bertambah cinta dan kasih pada-Nya, sehingga Diri ini FANA dalam lautan Dirinya.


Apabila kita memandang Diri kita, memandang kewujudan Diri kita, maka kita wajib memahami bahawa kita ada pemiliknya. Wujud kita menyatakan Wujud DiriNya. Dia Ghaib dan kita nyata, Dia Hakikat dan kita Syariat, Dia adalah Wujud dan kita adalah Bayang bagi Wujud-Nya. Lihatlah Diri kita lagi, pandanglah segala Sifat yang ada pada Diri kita, lihatlah Mata, lihatlah telinga, lihatlah mulut, lihatlah Akal, lihatlah gerak diam, lihatlah rasa hati kita. Semuanya tidak lain melainkan kenyataan akan Sifat-Sifat-Nya.


Dia menyatakan Sifat Ma’ani-Nya yang tujuh kepada Dirimu agar Mengenal dan mencintai-Nya. Dia memberitahu kita dengan bahasa yang hanya difahami oleh mereka yang merindui-Nya, mereka yang mempunyai Ilmu tentang-Nya.


Allah mengatakan


Wahai hambaku, padamu Aku telah menyatakan segala Sifat-Sifat Diri-Ku. Aku Allah yang melihat dan Aku nyatakan pada Matamu, Aku Allah yang mendengar, Aku nyatakan pada telingamu, Aku Allah yang berkata-kata, Aku nyatakan pada suara dari mulutmu, Aku berilmu dan Aku nyatakan pada akal kita, Aku berkuasa dan Aku nyatakan pada gerak diam kita, Aku berkehendak dan Aku nyatakan pada Hati kita.