Minggu, 05 Desember 2021

MENGENAL ALLAH MELALUI MAKRIFAT

 

Makrifat itu bermaksud Mengenal, melihat dan memandang Allah. Mengenal Alllah dalam Erti kata sebenar, bukan setakat perkhabaran, gambaran atau Khayalan, tetapi Mengenal secara nyata, terang dan jelas yang tidak berbelah bahagi lagi.


Makrifat itu, bukan bermaksud Mengenal zat Allah, tetapi bermaksud Mengenal Wajah Allah. Wajah Allah itu dapat dikenal, dilihat dan di pandang melalui Mata Hati Roh dan melalui Naluri Rohani Diri kita Sendiri dan bukannya melalui pandangan akal atau penglihatan Mata kasar.


Untuk melihat, memandang dan Mengenal Allah itu, kita dikehendaki Mengenal Diri kita Sendiri terlebih dahulu. Untuk Mengenal Diri Sendiri, kita hendaklah melihat, memandang dan Mengenal Roh. Barangsiapa Mengenal Roh kenallah ia kepada Dirinya Sendiri. Manakala Barang Siapa yang Mengenal kepada Dirinya Sendiri maka kenallah ia kepada Allah Taala.


Dan Barang Siapa Mengenal Diri, Nescaya Mengenal ia akan Allah, siapa yang Mengenal Allah Nescaya binasa Jasad


Inilah cara Ilmu Makrifat melihat, memeandang dan Mengenal Allah. Iaitu dengan cara memulangkan Zat Roh Diri kita Sendiri. Diperingkat Ilmu Syariat, kita belajar Mengenal dan memulangkan Sifat, diperingkat Ilmu Tarikat, kita belajar Mengenal dan memulangkan kelakuan, diperingkat ilmu Hakikat, kita belajar Mengenal dan memulangkan nama-nama panggilan. Manakala di peringkat Ilmu Makrifat itu, kita belajar Mengenal dan memulangkan Zat Roh


Sesudah kita Mengenal Roh, bererti kita telah Mengenal Diri kita yang Sebenar. Sesudah Mengenal Diri kita dengan rata, bererti kita telah Mengenal Allah dengan nyata, kerana Ilmu Mengenal Allah itu, hanya dapat dicapai melalui Ilmu Mengenal Diri Mengenal Roh tanpa Mengenal Diri Roh, mustahil Allah dapat dikenal oleh kita sekalian.


Makrifat bukan Ilmu yang berada pada tahap tahu, Makrifat itu adalah Ilmu yang berada pada tahap Mengenal melihat dan memandang Allah secara nyata Perkara tahu dengan perkara kenal adalah suatu yang berbeza.


Sebagai contohnya

Seandainya kita, telah ditinggalkan oleh ayah dan ibu sejak dari kecil Bila dewasa kita tahu yang kita juga ada mempunyai ayah dan ibu. Seandainya kita berkesempatan untuk makan semeja dengan kedua ibubapa kita sekalipun, kita tidak akan dapat Mengenalnya, kerana sebelum ini, kita belum pernah melihat Wajahnya, hanya setakat tahu melalui perkhabaran sahaja dan belum pernah bertentang Mata. Inilah peranan perkara tahu dengan perkara kenal.


Walaupun di saat dan ketika ini, kita sedang berada bersama-sama, dihadapan, bertentang Mata, bersentuhan bahu dan duduk sebumbung bersama mereka, kita tidak akan dapat Mengenali mereka kerana kita belum pernah bertemu sebelumnya. Apabila belum pernah berjumpa dan belum pernah bertemu, sudah tentu kita tidak Mengenalinya.Sebaliknya ibu bapa yang pernah kita kenal dari sekecil tapak tangan, sehingga sebesar sekarang, walaupun berada jauh dari penglihatan Mata, ianya tetap tebayang dan tergambar di ruangan Mata dan terpahat di lubuk Sanubari.


Kita akan ingat Wajah ibu bapa kita, walaupun tanpa kehadiran di depan Mata. Begitulah juga pernan ilmu tahu berbanding ilmu kenal. Pelajaran ilmu Hakikat, hanya setakat belajar Ilmu tahu (tahu Roh). Manakala pelajaran di peringkat Ilmu Makrifat pula, adalah pelajaran Ilmu yang sampai keperingkat penyerahan Roh. Hakikat adalah Ilmu tahu, manakala Makrifat adalah Ilmu Mengenal


Pandangan serta penglihatan orang Makrifat dengan orang kebanyakkan adalah sangat berbeza. Bila memandangnya orang Makrifat kepada sebuah bahtera umpamanya, mereka tidak nampaknya sebagai bahtera, yang mereka nampak adalah Wajah Allah Swt Bila melihat orang Makrifat kepada Gunung, mereka tidak nampaknya sebagai Gunung, yang mereka nampak adalah wajah Allah. Bagi kita yang tidak pernah sampai keada tahap Makrifat, bila melihat Gajah, maka Gajahlah yang kita nampak, sedangkan yang dilihat dan yang dipandang itu perkara yang sama, namun kefahaman, penghayatan dan Zuk orang-orang Makrifat amat berbeza berbanding orang kebanyakan.


Barang kemana kamu menghadap di situlah Wajah Allah


Kita jangan pandang remeh perkara ini, bagi mereka-mereka yang Mengenal Allah dan yang duduk dalam tahap Ilmu Makrifat, inilah keadaannya dan suasana yang di Alami mereka. Untuk sampai kepada tahap mereka, hendaklah kita belajar Ilmu Makrifat, belajar mengembalikan, memulangkan dan menyerahkan Roh mengembalikan Zat kepada Allah Taala. Segala pencarian Ilmu, hanya akan terhenti bila kita sampai di peringkat Makrifat. Peringkat Ilmu Makrifat adalah peringkat Zuk, peringkat Khasyaf dan peringkat Rasa. Bila Sampai kepada peringkat Rasa, hanya mereka yang merasa sahaja yang tahu apa itu Rasa. Tidak ada ungkapan, ucapan dan tidak ada bahasa, untuk diterjemahkan perkara rasa, melainkan bagi Siapa yang menikmatinya, dialah yang mengetahuinya. Begitu juga dengan Zuk melihat Wajah Allah, hanya bagi yang Mengenal Allah sahaja, yang dapat Menterjemahkannya. Zuk Wajah Allah hanya dapat dirasa melalui Ilmu Makrifat.


Yang menikmati sahaja yang dapat tahu akan rasanya


Jangan menafikan bagaimana sampainya orang Makrifat kepada Allah, jika Ilmu kita belum sampai ketahap itu. Tiada sesiapa yang tahu, untuk mengukur Ilmu rasa. Sememangnya Ilmu kita tidak sampai untuk menyelami sebagaimana mereka. Oleh itu untuk mendapat Nikmat sebagaimana Nikmatinya yang mereka Alami, dampingi dan dekatilah Guru-Guru Makrifat.


Pada dada-dada merekalah terkandungnya Ilmu Makrifat. Ilmu Makrifat itu, bukannya pada Kitab, Buku, tulisan atau bukan kerana pengajian pondok. Ilmu Makrifat itu, bertempat pada dada para-para Mukmin yang berilmu. Hanya orang yang Mengenal Allah sahaja, yang ditakrifkan sebagai yang berilmu. Ada orang bertanya kepada Baginda Nabi Bagaimana untuk membezakan antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Nabi menjawab;


Bezanya antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu adalah seumpama orang Mati dengan orang yang Hidup


Nilai orang yang berilmu disisi Allah itu, amat tinggi, besar, mulia dan amat berharga. Oleh itu marilah sama-sama kita mencari dan beriktiarlah untuk mendapatkan Ilmu Makrifat. Ilmu Makrifat hanya ada pada dada para-para Ahli Makrifat.


Untuk menterjemah dan mentafsirkan makna dan Erti Makrifat Mengenal Allah cara dan kaedahnya mestilah melalui jalan "rasa". Bilamana sampainya kita ke sana, barulah kita tahu apakah itu Erti Makrifat dan apakah itu takrif Mengenal rasa dan takrif Mengenal Allah.


Untuk sampai kesana, carilah Guru yang Jasadnya telah binasa, pancainderanya telah berkubur, keinginannya telah Mati dan Guru yang citarasanya telah kembali keRahmatullah. Di dada-dada merekalah nantinya maksud Makrifat Sebenar, akan dapat kita selami. Biarpun Guru berkenaan tidak tahu menulis atau membaca. Guru Makrifat itu, tidak perlu kepada pengajian pondok atau kelulusan bahasa Arab.


Bagi siapa yang dapat menemuinya dan berjumpa dengan Guru tersebut, janji Allah Pasti akan sampailah ia kepada Ilmu Makrifat yang sebenar. Tanpa Guru Makrifat, agak sukar untuk kita sampai kepada tahap Mengenal Allah dan agak sukar pula untuk menterjemahkan Erti dan makna Makrifat.


Makrifat adalah cabang Ilmu bagi membicarakan soal Mengenal Allah. Suatu cabang Ilmu yang menjurus kepada soal kebatinan, soal kerohnian dan soal Mengenal perkara yang Ghaib.


Lingkungan Ilmu Makrifat merangkumi Ilmu Feqah, Ilmu Usulluddin dan ilmu Tauhid. Untuk mencapai tahap Makrifat ketiga-tiga Ilmu di atas, tidak boleh kita tinggalkan. Bagi siapa yang meninggalkan salah satu darinya, bererti mereka itu sesat. Jangan pula demi mengejar Makrifat, menyebabkan kita meninggalkan Ilmu Usulluddin. Barangsiapa yang meninggalkan Usulluddin, bererti mereka itu Buta Ilmu. Dan bagi siapa yang meninggalkan Ilmu Tauhid, bermakna gagal dalam Makrifat. Ketiga-tiga ilmu tersebut harus seiring dan harus terlebih dahulu diharungi dan terlebih dahulu ditempuhi supaya tahap Makrifat kepada Allah menjadi satu. Makrifat itu merangkumi Ilmu Tauhid, Usulluddin dan Feqah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar