Orang Mukmin yang taat kepada Allah Swt kuat melakukan Ibadat, di mana akan meningkatlah kekuatan dalaman Rohaninya. Dia akan kuat melakukan Tajrid, iaitu menyerahkan segala urusan kehidupannya kepada Allah Swt Dia tidak lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar.
Dia tidak lagi meletakkan kepergantungannya kepada sesama Makhluk. Hatinya telah teguh dengan perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan Allah Swt untuknya. Bala tidak lagi menggugat Imannya dan Nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya Bala dan Nikmat adalah sama, iaitu takdir yang Allah Swt tentukan untuknya.
Apa yang Allah Swt takdirkan itulah yang paling baik. Orang yang seperti ini sentiasa di dalam penjagaan Allah Swt kerana dia telah menyerahkan Dirinya kepada Allah Swt Maka Allah Swt kurniakan kepadanya keupayaan untuk melihat dengan Mata Hati dan bertindak melalui petunjuk Laduni - tidak lagi melalui fikiran, kehendak Diri sendiri atau angan-angan. Pandangan Mata Hati kepada hal ketuhanan memberi kesan kepada Hatinya Kalbu. Dia mengalami suasana yang menyebabkan dia menafikan kewujudan Dirinya dan diisbatkannya kepada Wujud Allah Swt Suasana ini timbul akibat Hakikat ketuhanan yang dialami oleh hati.. Dia berasa benar-benar akan ke-Esaan Allah Swt bukan sekadar mempercayainya.
Pengalaman tentang Hakikat boleh dikatakan memandang dengan Mata Hati. Mata Hati melihat atau menyaksikan ke-Esaan Allah Swt dan Hati merasakan akan keadaan ke-Esaan itu. Mata Hati hanya melihat kepada Wujud Allah Swt tidak lagi melihat kepada Wujud Dirinya. Orang yang di dalam suasana seperti ini telah berpisah dari Sifat-Sifat kemanusiaan. Dalam berkeadaan demikian dia tidak lagi mengendahkan peraturan masyarakat. Dia hanya mementingkan soal perhubungannya dengan Allah Swt
Soal Duniawi seperti makan, minum, pakaian dan pergaulan tidak lagi mendapat perhatiannya. Kelakuannya boleh menyebabkan orang ramai menyangka dia sudah gila. Orang yang mencapai peringkat ini dikatakan mencapai makam Tauhid sifat. Hatinya jelas merasakan bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan Allah Swt dan segala sesuatu datangnya dari Allah Swt
Rohani Manusia boleh melalui beberapa peningkatan dalam proses Mengenal Tuhan. Pada tahap pertama terbuka Mata Hati dan Nur Kalbu memancar menerangi akalnya. Seorang mukmin yang akalnya diterangi Nur Kalbu akan melihat betapa hampirnya dia dengan Allah Swt Dia melihat dengan ilmunya dan mendapat keyakinan yang dinamakan Ilmul-Yaqin. Ilmu berhenti di situ. Pada tahap keduanya Mata Hati yang terbuka sudah boleh melihat. Dia tidak lagi melihat dengan Mata Ilmu, tetapi melihat dengan Mata Hati. Keupayaan Mata Hatinya memandang itu dinamakan Kasyaf. Kasyaf melahirkan pengenalan atau Makrifat. Seseorang yang berada di dalam makam Makrifat dan mendapat keyakinan melalui Kasyaf dikatakan memperolehi keyakinan yang dinamakan Ainul-Yakin. Pada tahap Ainul Yakin MakrifatNya Ghaib dan dia juga Ghaib daripada Dirinya sendiri. Maksud Ghaib di sini adalah hilang perhatian dan kesedaran terhadap sesuatu perkara.
Beginilah Hukum Makrifat yang berlaku.
Makrifat lebih tinggi nilainya daripada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah pencapaian terhadap persoalan yang terpecah-pecah bidangnya. Makrifat pula adalah hasil pencapaian terhadap Hakikat-Hakikat yang menyeluruh, iaitu Hakikat kepada sekelian Hakikat. Pun begitu, penyaksian Mata Hati jauh lebih tinggi daripada Ilmu dan Makrifat kerana penyaksian itu adalah hasil daripada kemahuan keras dan perjuangan yang gigih disertai dengan upaya Hati dan pengalaman.
Penyaksian Shahadul Haq adalah setinggi-tinggi keyakinan. Penyaksian yang paling tinggi ialah penyaksian Hakiki oleh Mata Hati atau penyaksian yang Haq. Ia merupakan keyakinan yang paling tinggi dan dinamakan Haqqul-Yaqin. Pada tahap penyaksian Hakiki Mata Hati, Mata Hati itu sudah tidak lagi melihat kepada ketiadaan Dirinya atau kewujudan Dirinya, tetapi Allah Swt dilihat dalam segala sesuatu, segala kejadian, dalam diam dan dalam tutur-kata. Penyaksian Hakiki Mata Hati melihat-Nya tanpa dinding penutup antara kita dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara kita dengan Dia.
Dan Allah tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada.
Dia tidak terpisah daripada kamu. Penyaksian yang Hakiki ialah melihat Allah Swt dalam segala sesuatu dan pada setiap waktu. Pandangannya terhadap Makhluk tidak menutup pandangannya terhadap Allah Swt Inilah makam keteguhan yang dipenuhi oleh ketenangan serta kedamaian yang sejati dan tidak berubah-ubah - yang bernaung di bawah payung Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang Teguh. Pada penyaksian yang Hakiki tiada lagi ucapan, tiada bahasa, tiada ibarat, tiada ilmu, tiada Makrifat, tiada pendengaran, tiada kesedaran, tiada hijab dan kesemuanya sudah tiada. Tabir hijab telah tersingkap, maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa Suara Sunyi Sepi. Allah Swt dipandang dengan Mata keyakinan bukan dengan Mata Zahir atau Mata Ilmu atau Kasyaf. Yakin, Semata-mata yakin bahawa Dia yang dipandang sekalipun tidak ada sesuatu pengetahuan untuk diceritakan dan tidak ada sesuatu pengenalan untuk dipamerkan.
Orang yang memperolehi Haqqul-Yaqin berada dalam suasana Hatinya kekal bersama-sama Allah Swt pada setiap ketika, setiap ruang dan setiap keadaan. Dia kembali kepada kehidupan seperti manusia biasa dengan suasana hati yang demikian, di mana Mata Hatinya sentiasa menyaksikan Yang Hakiki. Allah Swt dilihat dalam dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang. Dia melihat Allah Swt pada orang yang membunuh dan orang yang kena bunuh. Dia melihat Allah Swt yang menghidupkan dan mematikan, menaikkan dan menjatuhkan, menggerakkan dan mendiamkan. Tiada lagi perkaitannya dengan kewujudan atau ketidakwujudan dirinya. Wujud Allah Esa, Allah Swt meliputi segala sesuatu.